Wednesday, 9 March 2011

4 PERINGKAT DOSA MANUSIA

Assalamualaikum. Setiap dari insan yang bernama manusia sudah tentu tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Namun begitu janganlah ia dijadikan sebagai alasan untuk kita terus melakukan dosa. Setiap orang yang telah melakukan dosa hendaklah segera menginsafi akan dosa-dosa yang telah dilakukan dan bertaubat kepada Allah. Dosa-dosa seorang manusia itu ada 4 peringkat yang boleh sama-sama kita ambil iktibar darinya.

Dosa Peringkat Pertama

Seseorang yang telah melakukan dosa serta lambat menyesali perbuatannya atau pun lambat bertaubat atas dosanya. Ini adalah peringkat awal bagi orang yang telah melakukan dosa. Jika seseorang itu berterusan melakukan dosa pada peringkat pertama ini, maka ia akan secara automatik akan naik ke dosa peringkat kedua pula.

Dosa Peringkat Kedua

Seseorang itu akan membuat dosa dan tidak merasai apa-apa penyesalan diatas perbuatannya itu. Peringkat ini amat bahaya kerana ianya adalah bibit-bibit permulaan yang boleh menggugurkan iman seseorang.

Dosa Peringkat Ketiga

Seseorang itu membuat dosa dan merasa bangga dengan perbuatan dosanya. Peringkat ini akan sampai kepada suatu situasi di mana orang yang membuat dosa mula merasa sombong, bongkak dan riak. Ucapannya juga akan membawa kepada unsur murtad. Contohnya ucapan, “Aku minum arak ni biasa aje..setakat sebotol tak mabuk lagi” Selepas peringkat ini seseorang itu akan sampai ke peringkat keempat.

Dosa Peringkat Keempat

Seseorang itu akan membuat dosa, bangga dengan perbuatannya dan mula memandang hina atas kebaikan atau kebajikan. Pada peringkat ini orang tersebut mula mencabar Al-Quran, Hadis & Sunnah kerana sifat sombong, bongkak dan riak sudah sepenuhnya menguasai diri mereka.

Seseorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah,

“Wahai Rasulullah akan adakah orang yang menyeru kearah kejahatan dan dosa setelah datangnya islam yang lengkap ini.”

Rasullullah menjawab,” Ia, memang akan ada pendakwah neraka di akhir zaman setelah datang islam yang lengkap.”

Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku bertemu zaman itu dan pendakwah neraka tersebut.”

Rasulullah menjawab, “Hendaklah kamu cari ulama-ulama benar (ulama pewaris nabi) dan berpeganglah kamu kepadanya dan jangan sekali kali kamu lepas darinya.”

Sebagai kesimpulan, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam perbuatan yang kita lakukan setiap hari dan hendaklah kita cepat-cepat bertaubat atas kesilapan atau perbuatan kita yang berdosa dan semoga kita tergolong di kalangan orang-orang yang bertakwa kepada Allah.

No comments: