Wednesday, 9 March 2011

LIMA PERKARA YANG DICINTAI OLEH MANUSIA

ASSALAMUALAIKUM....

Dalam diri kita sebagai manusia ada beberapa perkara yang kita cintai. Perkara-perkara yang dicintai ini boleh menyebabkan kita lalai dari mengingati Allah.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Akan datang satu masa umatku, ketika itu mereka mencintai lima macam dan melupakan lima perkara iaitu: Mereka mencintai kepada dunia dan lupa kepada akhirat. Mereka mencintai kepada kehidupan dan lupa kepada kematian. Mereka cinta kepada istana dan lupa kepada kuburan. Mereka cinta kepada harta dan lupa kepada perhitungan di akhirat. Dan mereka cinta kepada makhluk dan lupa kepada Allah.”

1) Cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat

Ramai manusia pada hari ini terlalu mencintai kehidupan dunia. Mereka sangat mencintai kehidupan dunia yang penuh dengan nikmat yang begitu indah sekali. Nikmat yang Allah kurniakan di dunia ini adalah nikmat yang bersifat sementara sahaja tapi nikmat syurga di akhirat kelak adalah yang bersifat kekal. Tapi oleh kerana manusia itu selalu lupa dan lalai dari mengingati Allah, mereka akan mengejar dunia ini dengan begitu ghairah sekali dan melupakan kehidupan akhirat.

2) Cinta kepada kehidupan dan lupa kepada kematian

Setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Itulah yang sudah pasti berlaku bagi seorang manusia. Namun begitu kematian sering dilupakan oleh manusia kerana kehidupan dunia yang terlalu penuh dengan kenikmatan ini. Mati seolah-olah lambat lagi bagi mereka yang sedang leka dengan kehidupan dunia ini. Meraka menganggap mereka akan hidup selamanya di dunia ini.

3) Cinta kepada istana dan lupa kepada kuburan

Manusia hari ini berlumba-lumba untuk membina rumah yang besar dan mewah supaya mereka akan selesa tinggal di dalamnya. Tidak salah sebenarnya untuk membina rumah seperti istana sekalipun tapi adakah kita akan selalu mengingati alam kubur yang bakal menjadi tempat tinggal kita selepas mati.

4) Cinta kepada harta dan lupa kepada perhitungan di akhirat

Harta dunia ini membuatkan manusia selalu berlumba-lumba mengejarnya. Sehinggakan mereka tidak sempat untuk melakukan amal kebajikan kerana terlalu mengejar harta dunia ini. Ini kerana segala apa yang mereka kerjakan di dunia ini akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak. Jika baik amalan di dunia ini maka baiklah kehidupan di akhirat kelak.

5) Cinta kepada makhluk dan lupa kepada Allah

Sudah menjadi fitrah manusia mencintai sesama makhluknya. Contohnya seorang lelaki mencintai wanita yang sememangnya menjadi fitrah seorang manusia. Tapi kadang kala manusia ini terlalu mencintai pasangan yang mereka cintai hingga menyebabkan mereka lupa kepada Allah. Sepatutnya cinta kepada Allah hendaklah melebihi dari segalanya yang ada di dunia ini.

Semoga dengan perkongsian ini akan memberi kesedaran kepada diri saya sendiri dan berkongsi dengan semua pembaca blog ini. Sebenarnya lima perkara-perkara ini ada dalam diri kita semua yang bergelar seorang manusia. Cuma janganlah kita mencintai lima perkara ini tapi melupakan lima perkara yang sepatutnya kita perlu ingat. Biarlah seimbang di antara kehidupan dunia dan akhirat kita. Setiap amalan yang kita lakukan di dunia pasti akan di hitung di akhirat kelak. Dengan kehadiran bulan Ramadhan ini diharapkan akan meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah dengan melakukan lebih banyak amal kebaikan.

FIZA

No comments: